Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    MyLesen perluas mobiliti golongan kurang berkemampuan

    TUARAN, 5 DIS – Program MyLesen, yang antara lain membantu rakyat B40 terutama kurang berkemampuan mendapatkan lesen motosikal B2, penting dalam memperluas mobiliti serta peluang pekerjaan golongan terlibat sekali gus meningkatkan tahap sosioekonomi mereka, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata kerajaan negeri berharap lebih ramai penduduk di Sabah terutama golongan belia akan memperoleh manfaat menerusi program itu, apabila ia diteruskan menerusi Belanjawan 2024 dan dijangka akan memberi manfaat kepada 40,000 belia kurang berkemampuan seluruh negara.

    “Kerajaan Persekutuan dan negeri sentiasa berusaha untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada masyarakat MADANI yang menjadi keutamaan bagi negara, terutamanya dalam aspek pengangkutan kerana ia penting untuk melengkapkan rantaian ekonomi penduduk sekitar.

    “Ini membolehkan mereka diberi peluang untuk meningkatkan ekonomi melalui kesalinghubungan antara satu sama lain. Kerajaan negeri mengalu-alukan MyLesen diteruskan tahun depan,” katanya sempena pelancaran Program Mylesen B2 Daerah Tuaran di sini hari ini.

    Hajiji berkata Sabah menerima sebanyak 500 kuota Program Mylesen B2, yang melibatkan dua daerah iaitu Tuaran dan Kinabatangan, dan seramai 246 calon yang telah berjaya dalam ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), memperoleh lesen masing-masing hari ini.

    Hajiji berkata penerima lesen masing-masing hari ini terdiri golongan B40, yang antaranya penerima Sumbangan Tunai Rahmah, mereka dalam senarai e-Kasih, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penerima zakat.

    “Menerusi program Mylesen B2 juga, semua modul kursus latihan dan ujian dihadiri calon, setara dengan ketetapan sedia ada. Ini membuktikan komitmen dan usaha berterusan JPJ dalam memastikan penunggang motosikal betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. – Bernama

    Peserta Program MyLesen menunjukkan lesen memandu percubaan digital yang diterima pada Majlis Penutup Program MyLesen (B2) peringkat negeri baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...