Selepas dua tahun cuba mengukuhkan nama di persada seni Korea Selatan, kumpulan MYTEEN akhirnya sah akan berpecah.
Perkhabaran terbaharu ini sekali gus menjawab teka-teki mengapa kumpulan itu tidak aktif sejak Januari lalu.
Dianggotai Chunjin, Eunsu, Kim Kookheon, Shin Junseop, Song Yuvin dan Hanseul, kumpulan itu mula diperkenalkan pada 2017. Bagaimanapun, seorang anggotanya iaitu Lee Taevin mengundur diri tahun lalu.
Pembubaran berkenaan diumumkan Eunsu menerusi Instagram apabila dia mengakui sangat berduka dengan kesudahan MYTEEN. Dia akui ambil masa lama untuk menulis perkhabaran sedih itu.
“Saya tidak dapat melelapkan mata beberapa malam memikirkan cara terbaik menyampaikan berita ini. Saya risau jika terlepas mana-mana makluman penting dan disebabkan itu saya catat satu persatu butirannya. Hari ini MYTEEN akhirnya dibubarkan dan kami akan bawa haluan masing-masing. Kami terus menerima sokongan dan kasih sayang tidak terhingga detik penamat ini,” katanya.
Menurut Eunsu, banyak perkara dipelajarinya sewaktu menyertai agensi Music Work. MYTEEN bertemu ramai insan hebat selain bersengkang mata demi merealisasikan impian mereka. Eunsu tidak ketinggalan meminta peminat MYTEEN agar terus mengenang mereka selain menyokong kerjaya seni setiap anggotanya. – Agensi
