Thursday, July 17, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nabil Ahmad nafi guna ‘kabel’ bagi anak jadi pengacara

    Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad tidak menganggap peluang anak sulungnya iaitu Nayla Mikayla dipilih sebagai ‘support sister’ dalam program The Chosen One musim ketiga kerana menggunakan pengaruhnya.

    Kata Nabil, 42, Mikayla atau lebih mesra disapa Mika tetal menjalani sesi uji bakat sebelum terpilih untuk menjadi teman sokongan buat semua peserta.

    “Saya bersyukur Mika dipilih, bukan senang nak dapat peluang untuk menjejakkan kaki dalam industri. Kadang-kadang saya simpati juga melihat anak orang lain buat macam-macam untuk rebut peluang masuk ke dalam industri. Usaha mereka memang dahsyat.

    “Jadi bila Mika dapat peluang ini, saya bersyukur. Tapi dia tetap kena pergi uji bakat, proses dia sama macam orang lain dan kena masuk kelas bersama Datuk Aznil Nawawi,” katanya kepada mStar.

    Nabil berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media The Chosen One Xtra X Jutawan Ekspres yang diadakan di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.

    Dalam pada itu, Nabil mengakui dia berasa lega apabila melihat kemampuan Mika mampu melaksanakan tugasan diberi dengan baik.

    Menurut Nabil, Mika sebelum ini sudah menunjukkan minat untuk bergelar pengacara dan sebagai bapa dia sentiasa memberikan sokongan namun mahu anaknya itu belajar bagaimana susah untuk mencari duit.

    “Walaupun bayaran mungkin tak tinggi, tapi yang penting saya nak dia rasai sendiri pengalaman dan dapat gambaran macam mana susah payah saya mencari duit.

    “Saya nak bila dia melangkah ke dunia pekerjaan kelak, dia dah ada pengalaman itu. Jadi banyak lagi cabang yang boleh dia terokai selepas ini,” ujarnya.

    Meskipun tidak pernah menghalang Mika menceburkan diri dalam bidang seni, namun pelawak berkenaan tetap mahu memastikan anak perempuannya itu memberikan fokus terhadap pelajaran.

    Kata Nabil, dia berhasrat untuk melihat Mika memiliki segulung ijazah dan mendapatkan pekerjaan yang baik.

     “Saya tak mahu Mika abaikan pelajaran. Platform ini hanyalah sementara saja untuk bantu Mika supaya menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi dan berani.

    “Saya tak ada pelajaran dan sijil, saya cuma ada kerja ini saja. Jadi saya tak nak dia jadi macam saya. Saya nak tengok Mika masuk universiti dan nak dia belajar jadi doktor ataupun jurutera.  Industri seni pula hanyalah platform untuk dia belajar mengenai kehidupan,” katanya. – Agensi

    Nabil beri sokongan penuh minat Mikayla dalam bidang pengacaraan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda