Thursday, December 19, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nabil Mentor selamat dikebumikan

    Jenazah Allahyarham Nabil Zafril Zamanhuri, 37, atau lebih dikenali sebagai Nabil Mentor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, jam 6:20 petang, kelmarin.

    Sebelum itu, jenazah arwah Nabil yang juga penyanyi dan pelakon itu selesai diurus dan disolatkan di Masjid Ukay Perdana.

    Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat hadir bagi memberi penghormatan terakhir buat naib juara program realiti, Mentor musim pertama itu.

    Antara rakan artis yang hadir termasuklah Datuk Nora Ariffin, Nabil Ahmad dan personaliti media sosial, Ubai MZ.

    Terdahulu, Allahyarham Nabil dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah, Ampang, pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.

    Jenazah arwah Nabil yang juga penyanyi dan pelakon itu selesai diurus dan disolatkan di Masjid Ukay Perdana. – mStar

    Sebelum ini, arwah pernah menyertai program pencarian bakat, Mentor musim pertama di TV3 pada 2005 dan menyandang gelaran naib juara.

    Arwah Nabil juga pernah menghasilkan satu album, Dari Jauh pada 2006 dan antara single nyanyiannya seperti Hati Ini, Hey Emma, Dari Jauh, Beku, Selangkah (OST Aladdin) dan Kenangan Lama (OST drama Ijab Kabut).

    Dalam lakonan, dia pernah membintangi drama Seribu Erti pada 2007, Kerana Kirana 2 (2008), Kamelia Katrina (2009) dan Ijab Kabut (2022), selain filem Aladdin dan Boboiboy Movie 2 sebagai Kapten Kaizo (2019).

    Allahyarham Nabil bertemu jodoh dengan wanita pilihan, Adelia Citra Hapsari pada 2014.

    Mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Aluna Calista, 7, dan Stara, 3. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda