Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad terkejut apabila anak sulungnya iaitu Naira Mikayla didakwa sudah mempunyai kekasih hati pada usia yang muda.
Kata Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 39, berkata sejak beberapa hari lalu dia hanya menerima usikan orang ramai yang berseloroh dirinya bakal menerima menantu namun tidak tahu niat gurauan tersebut.
“Saya daripada hari itu orang cakap tahniah dapat menantu hingga buat saya tertanya-tanya. Sekarang baru saya tahu dan tidak tengok lagi video itu,” katanya kepada mStar.
Nabil berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Pengumuman Top 20 Anugerah Meletop Era yang berlangsung di Astro Bukit Jalil pada malam kelmarin.
Menurut Nabil, dia sentiasa memantau rakan-rakan anaknya malah turut menetapkan syarat dalam penggunaan telefon bimbit kerana ingin mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini.
Nabil juga berpendapat anaknya masih terlalu muda untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki walaupun sekadar cinta monyet.
Pun begitu, Nabil memberitahu dia sedia maklum anaknya itu berkawan dengan seseorang selepas diberitahu oleh isterinya, Nazirah Ayub namun tidak pasti sejauh mana hubungan tersebut.
“Belum masanya lagi kerana dia baru 13 tahun. Tapi kalau di sekolah nak berkawan saya tak boleh cakap apa. Saya pun hanya beri kebenaran penggunaan telefon bimbit hanya Sabtu dan Ahad saja, Isnin hingga Jumaat akan dipegang oleh ibunya,” ujarnya.
Sebagai penjaga, dia mengakui perlu berhati-hati ketika menegur anak-anak agar tidak menyinggung perasaan mereka sehingga boleh membawa kepada masalah lebih besar. Tambah Nabil lagi, dia juga berkemungkinan akan meminta isterinya menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu ini dengan lebih berhemah.
Sebelum ini, tular di platform TikTok sebuah video memaparkan Mikayla bersama seorang remaja lelaki dengan aksi mesra sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Malah, ruangan komen video berkenaan turut memperlihatkan mereka saling meluahkan perasaan. – Agensi


