Penyanyi Nabila Razali mengakui tidak sabar bergelar ibu, namun dalam masa sama berdebar untuk melalui proses bersalin.
Nabila, 32, dijangka melahirkan anak sulung pada Januari ini.
Katanya, dia mengamalkan zikir bagi memudahkan proses bersalin, selain mendapatkan tip daripada orang sekeliling.
“Saya hanya ada beberapa minggu lagi untuk bersalin, dijangka pada Januari.
“Rasa gemuruh tentulah ada, apatah lagi, ini adalah pengalaman pertama melahirkan anak.
“Saya banyak bertanya kepada orang sekeliling tip bersalin, termasuk bertanya kepada Bella Astillah,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul CaCaCa duet bersama Bella Astillah.
Sementara itu, ditanya bilakah akan bercuti, Nabila berkata, dia akan terus bekerja selagi belum tiba masa untuk melahirkan, lapor BH Online.
“Bulan lalu saya ada cuba mahu berehat, tapi tak boleh. Saya merasa tak betah jika tak berbuat apa-apa.
“Jadi, saya kembali bekerja semula. Alhamdulillah, suami pun memahami, tetapi tetap berpesan jangan kerja kuat sangat.
“Bagi saya, dikurniakan suami yang baik juga adalah rezeki,” katanya.
Berkongsi mengenai persiapan menyambut kelahiran permata hatinya, Nabila berkata, dia hanya berkesempatan membeli barangan anak damit minggu lalu akibat jadual kerja yang padat.
“Jika ada kerja di pusat membeli-belah, saya akan cuba curi masa membeli barang.
“Ramai nasihatkan saya termasuk ahli keluarga supaya berpada-pada dalam berbelanja.
“Tapi, tak sangka daripada sikit demi sikit jadi banyak. Mungkin teruja kerana ini cahaya mata pertama saya,” katanya.
Nabila memberitahu, dia tidak akan bercuti lama selepas bersalin, sebaliknya hanya akan bercuti sepanjang berpantang. – Agensi