Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nabila ceburi bidang perniagaan

    SETELAH bergerak aktif dalam bidang nyanyian, Nabila Razali (gambar bawah) mengakui sudah mampu menarik nafas lega apabila namanya semakin kukuh dan dikenali ramai.

    Namun, penyanyi berusia 26 tahun itu, sering kali mengingatkan diri beliau sendiri bahawa apa yang diraih itu hanyalah bersifat sementara sahaja.

    Nabila, yang bakatnya terserlah menerusi program realiti TV, Akademi Fantasia 2013 semakin rancak merancang masa depannya agar tidak ketinggalan.

    Beliau berkata perancangan terbaharunya adalah dengan mendekatkan diri dalam bidang perniagaan sebagai persediaan masa depan.

    “Sejak menjadi artis, saya telah menetapkan sasaran tersendiri untuk dicapai. Setiap tahun berganti, saya akan berusaha keras untuk memastikan setiap impian saya menjadi kenyataan.”

    “Syukur alhamdulillah, sepanjang tempoh enam tahun, saya telah mencapai beberapa sasaran besar iaitu dengan mempunyai beberapa lagu popular selain menjadi duta produk.

    “Tahun ini, saya tanamkan pula hasrat untuk memulakan langkah dalam bidang perniagaan. Saya tahu populariti tidak akan kekal lama. Lagipun, sampai bila mahu bersandar kepada populariti?” katanya.

    Menurutnya lagi, beliau kini dalam persiapan untuk menghasilkan produk jenama sendiri, namun maklumat mengenainya belum dapat dikongsikan.

    “Saya perlu serius kerana kini bergerak sendiri selepas kontrak bersama Seventeen Eleven Music berakhir pada Februari lalu,” ujarnya.

    Nabila turut berasa bersyukur kerana sepanjang bersama label itu, mereka telah banyak berusaha membantu perjalanan kerjaya nyanyiannya. Sekalipun bergerak sendiri, Nabila mendedahkan kerjaya seninya masih dikendalikan oleh pihak pengurusan yang sama. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda