Niat pelakon Nabila Huda berkongsi perjalanan terakhir kucing kesayangannya sebelum ini adalah semata-mata ingin memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang mengasihani haiwan.
Nabila atau Nabila Huda Suhaimi, 40, berkata, dia tidak boleh menerima kenyataan jika ada pihak bertindak membuang haiwan peliharaan mereka apabila dijangkiti penyakit.
Jelasnya, masalah kewangan bukan alasan membuang haiwan peliharaan sesuka hati kerana seseorang itu sepatutnya sudah memikirkan semua kebarangkalian apabila memilih membela kucing atau haiwan lain di rumah.
“Kucing ini sebenarnya adalah nyawa dan darah daging kita sebaik sahaja kita mengambil keputusan membelanya.
“Jadi jagalah betul-betul, jangan kalau ia sakit kita buang! Ia seolah-olah awda membuang anak sendiri ketika mereka sakit.
Menurut mStar, Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Hikayat Bawah Putih Bawang Merah yang diadakan di TGV 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nabila memberitahu perkongsian kisah mengenai kucingnya iaitu Aoki diharap dapat membuat pencinta haiwan lain peka terhadap penyakit dihidapi haiwan peliharaan mereka.
“Mungkin ada pencinta kucing di luar sana yang tidak tahu tentang penyakit-penyakit dihidapi kucing. Saya sendiri tak tahu tentang simptom yang Aoki tunjuk pada awalnya.
“Masa awal-awal Aoki memang tiada petunjuk tapi bila doktor jelaskan simptomnya baru saya tersedar untuk lebih peka dalam menjaga haiwan kesayangan mereka.
“Paling menarik bila saya kongsi di media sosial, banyak benda boleh pengikut saya jadikan rujukan,” ujarnya. – Agensi