“Maaf tanya… Siapa ni? Pelakon ke?” Demikian komen ringkas yang ditinggalkan oleh pelakon, Nabila Huda apabila ditanya mengenai dakwaan hubungan persahabatan dengan pelakon, Nad Zainal renggang.
Menurut Nabila, 38, dia tidak mengenali individu bernama Nad Zainal walaupun pernah menjadi kawan rapat sebelum ini.
“Mungkin saya pelupa sebab pernah dijangkiti COVID-19 sebanyak dua kali tetapi yang pasti, memang tidak kenal dan tidak tahu siapa dia.
“Kalau saya kawan dia, dalam Instagram pasti ada. Saya kena block padahal tidak kenal pun.
“Seperti kes Masya Masyitah yang saya jujur tak kenal dan sama juga dengan isu ini. Maaf sangat betul-betul tak tahu mengenai dia,” katanya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P8-ohbulancom_25082023.jpg)
Terdahulu, Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi menarik perhatian ramai apabila meninggalkan komen menyatakan tidak mengenali Nad dalam hantaran HLive dengan isteri Ungku Ismail itu bersama pihak media.
Dalam temu bual berkenaan, Nad memberitahu enggan mengambil kisah dan mengusutkan pemikirannya dengan isu remeh seperti pergaduhan dalam persahabatan.
Malah, dia yang kini hamil trimester ketiga ketika ini adalah untuk memberi keutamaan kepada suami dan anak-anak termasuk anak yang bakal dilahirkan Oktober depan.
Spekulasi bermasam muka itu mula bertebaran selepas Nad pulih daripada koma akibat pendarahan dalam paru-paru sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ungku Ismail pada Januari lalu.
Selain Nabila, antara nama rakan selebriti lain yang terkait dalam isu ini ialah Sherry Alhadad, Sharifah Sakinah dan Marsha Milan. – Agensi