Lebih dua bulan dikurniakan cahaya mata, penyanyi dan pelakon Nabila Razali belum bersedia berkongsi wajah mahupun nama bayi lelakinya kepada umum.
Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 33, sebaliknya dia dan suami sepakat hanya akan berkongsi mengenai perkara itu apabila sudah bersedia.
“Insya-Allah kalau kalau sudah bersedia, saya akan kongsi di media sosial. Saya dan suami ada pemahaman sama tentang perkara itu dan sepakat tidak mendedahkan wajah dan nama anak buat masa sekarang.
“Saya sedar ramai bertanya, insya-Allah nanti kalau saya dah kongsi di media sosial, tataplah puas-puas ya?,” katanya kepada mStar.
Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada karnival beli belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura pada Sabtu.
Selebriti itu hadir sebagai salah seorang peniaga serta penyanyi yang diundang membuat persembahan pada acara tersebut.
Bercakap lanjut mengenai hal itu, Nabil memberitahu selain ingin menjaga privasi keluarga, dia ada perasaan bimbang akan penyakit ain yang mungkin boleh berlaku pada anak lelakinya.
Jelas Nabila, dia enggan mengambil risiko memandangkan pekerjaannya sebagai seorang selebriti perlu berjumpa dengan ramai orang.
“Risau juga dengan penyakit ain dan sekarang pun macam-macam kes berlaku melibatkan bayi.
“Jadi saya tak nak ambil risiko, tambahan pula bila bergelar figura awam ini saya risau mungkin akan diperhatikan.
“Orang biasa pun boleh jadi mangsa inikan pula saya yang kerjanya perlu berjumpa orang ramai,” jelasnya.
Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada November 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.
