Monday, March 31, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nabila Razali gementar rakam lagu raya versi Kelantan

    Atas permintaan ramai penyanyi Nabila Razali tampil dengan versi baharu lagu Raya Mana dalam versi dialek Kelantan bersama Den Manjo.

    Gementar merakamkan versi itu, Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 33, berkata dia tidak fasih bertutur dialek Kelantan walaupun suaminya berasal dari negeri berkenaan.

    “Bagi sesiapa menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama Den Manjo, permintaan anda sudah saya tunaikan.

    “Sejujurnya saya agak gementar menyanyikan lagu ini kerana dialek Kelantan bukanlah bahasa pertama saya.

    “Sampai sudah ada anak pun saya masih belum fasih bertutur dalam loghat negeri itu tapi tidak mengapa, mula-mula menyanyi dulu, lepas itu mana tahu boleh fasih,” katanya kepada mStar.

    Bagi memastikan sebutan dilontarkan tepat, Nabila mendapat bimbingan daripada Den bagaimana hendak menyebut perkataan dalam dialek Kelantan.

    Jelas Nabila perkara itu dilakukan agar nyanyiannya tidak kedengaran canggung.

    “Saya tanya sama ada sebutan saya ini betul atau tidak sebab takut salah, Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan.

    “Insya-Allah, saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut,” ujarnya.

    Dengan pelancaran Raya Mana versi Kelantan, penyanyi itu mengharapkan ia dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

    Tahun lalu, lagu Raya Mana berjaya menjadi antara lagu raya yang ‘trending’ dan tular di media sosial.

    Malah, lagu tersebut sudah mencapai lebih 20 juta jumlah tontonan di YouTube selepas setahun diterbitkan. – Agensi

    Nabila berduet dengan Den untuk Raya Mana versi Kelantan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda