Menyambut ulang tahun kelahiran ke-33, penyanyi Nabila Razali memilih cara lebih bermakna apabila berkongsi rezeki dengan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Lebih menarik, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali menjadikan angka 33 itu sebagai simbolik jumlah sumbangan yang diagihkan pada 13 November lalu.
“Tanggal 13 November merupakan hari ulang tahun saya. Sempena ulang tahun ke-33, saya nak buat kelainan sedikit. Saya mahu kongsi rezeki kepada 33 keluarga yang memerlukan. Saya harap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban keluarga yang menerima,” katanya.
Nabila berkongsi perkara itu dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya. Menerusi perkongsian itu, Nabila dilihat turun padang bagi mengedarkan sumbangan di sebuah kawasan perumahan.
Antara sumbangan yang diberikan termasuk beras dan kotak yang mengandungi barangan keperluan asas.
Meluahkan rasa syukur, Nabila memohon doa agar terus dimurahkan rezeki supaya dia dapat berkongsi lebih banyak pada masa akan datang. – Agensi


