Selepas lima bulan melahirkan anak pertama, penyanyi dan pelakon Nabila Razali akhirnya mendedahkan wajah dan nama cahaya mata sulung.
Merasakan sudah tiba masa yang sesuai, Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 33, turut memohon doa yang terbaik buat Nik Muhammad.
“Baby M pun sudah berumur lima bulan dan saya rasa sudah tiba masanya Bella perkenalkan anak saya, Nik Muhammad.
“Terima kasih buat semua, selalu doakan baik-baik untuk Baby M, moga indah sahaja buat kalian,” katanya.
Nabila berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Nabila turut mengingatkan peminat untuk hadir ke majlis akikah anak sulungnya itu yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan.
Tambahnya, dia teruja kerana dapat beraya di kampung suami dan tidak sabar untuk meraikan kemeriahan Aidiladha bersama peminat.
“Salam Aidiladha buat semua. Moga pengorbanan dan amal ibadah kita menjadi bekalan yang diberkati dunia dan akhirat.
Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang digelar sebagai Baby M pada 23 Disember tahun lalu. – Agensi
