Risau penangan penyakit ain, penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengakui lebih berhati-hati memuat naik foto anak lelakinya, Nik Muhammad Nik Iruwan dalam media sosial.
Pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali, 33, itu berkata, kerisauan dengan penyakit ain masih membelenggu dirinya sehingga hari ini namun tetap berkongsi foto anaknya demi memenuhi permintaan peminat.
“Ya, sehingga sekarang masih ada kerisauan itu setiap kali memuat naik foto anak.
“Sebelum ini, saya kongsi gambar kerana mahu menunaikan permintaan peminat. Rasa tidak elok pula biarkan peminat tertunggu-tunggu.
“Tapi saya memilih bila nak berkongsi, bukan setiap hari saya muat naik konten tentang anak,” katanya kepada HibGlam pada sidang media siri mini drama Mcdonalds, Senyuman.

Meski cuba mengelak, dia bagaimanapun sedar bahawa penyakit ain sukar untuk ditepis dan hanya mampu memohon perlindungan daripada Tuhan.
“Kadang-kadang saya kongsi tetapi penyakit ain itu memang sukar juga nak elak. Niat orang kita memang tidak tahu.
“Kita hanya mampu berdoa supaya mereka jadikan foto yang saya kongsi sebagai tatapan sahaja. Tiada niat untuk riak atau menunjuk,” ujarnya kepada Kosmo.
Ditanya sama ada mahu membuka akaun media sosial untuk anak, Nabila tidak menolak kemungkinan tersebut namun bukan dalam tempoh terdekat.
“Buat masa sekarang, saya masih belum terfikir lagi kerana mahu menjaga privasi anak dan keluarga kecil saya.
“Kalau sudah sampai masa nanti, saya akan buka akaun Instagram untuk dia,” jelas beliau. – Agensi

