Penyanyi dan pelakon Nabila Razali selamat melahirkan cahaya mata sulung pada Isnin di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
Anak damit lelaki seberat 3.1 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan tepat pukul 10.01 malam.
Meluahkan rasa syukur Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 32, juga menganggap kelahiran anak damit lelaki itu sebagai satu anugerah terindah buat hidupnya.
“Ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya. Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan, dan akhirnya, Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan saya serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini,” katanya seperti yang dimaklumkan dalam satu kenyataan media.
Penyanyi ini juga memberitahu dia kini akan lebih memberi fokus kepada keluarga meskipun jadual kerja yang padat.
Untuk rekod Nabila mendirikan rumah tangga dengan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November tahun lalu.
Pada Oktober lalu pasangan ini berkongsi berita gembira mereka bakal menyambut kelahiran anak pertama.
Nabila kemudian mengumumkan jantina anak dalam kandungan itu di satu majlis gender reveal yang diadakan pada November. – Agensi