Aktres berkaliber, Nabila Huda menepis tanggapan bersikap dingin terhadap pelakon kontroversi, Sophia Albarakbah susulan tegurannya mengenai cinta lokasi sehingga ada pelakon wanita terjerat dalam hubungan terlarang hingga di luar penggambaran.
Meleraikan kekeliruan yang timbul berikutan kenyataannya itu, Nabila atau lebih akrab disapa Abil menjelaskan, teguran itu dibuat secara umum dan tidak ditujukan kepada individu tertentu.
Sehubungan itu, kata pelakon Rahsia ini, dia tidak mempunyai masalah dengan Sophia seperti yang didakwa dan masih boleh menjalinkan kerjasama dengan pemenang trofi Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 itu.
“Tak adalah apa-apa isu pun dengan Sophia dan komen itu berkaitan isu semasa (penyondol) yang berlaku pada masa itu.
“Sebagai pelakon senior, saya perlu bersuara mengenai perkara yang boleh buat industri dipandang buruk.
“Cukup-cukuplah orang pandang buruk pada industri kita selama ini. Kasihanilah kepada mereka berusaha keras sejak muda dan jujur nak menjadi pelakon.
“Disebabkan itu, saya kata betapa pentingnya untuk kita jaga daripada timbulnya isu seperti ini.
“Lagipun, teguran itu bersifat profesional dan tidak ditujukan pada sesiapa. Saya tidak kisah bekerja dengan sesiapa sahaja,” katanya kepada BH Online.
Nabila mengulas mengenai reaksinya apabila disatukan dengan Sophia dalam drama susulan kritikan dilemparkan berhubung isu penyondol itu.
Nama Sophia cukup hangat apabila didakwa menjalinkan hubungan dengan gandingannya dalam drama rantaian, Ku Akad Kau Dengan Bismillah iaitu Aliff Aziz.
Tambah anak kepada bintang rock legenda, Datuk Amy Search ini, dia juga tidak berniat mencampuri urusan peribadi membabitkan mana-mana artis. – Agensi