Tiga bulan menjalani penggambaran drama Di Hujung Ranting, pelakon Nad Zainal mengakui dia berdepan cabaran dalam membawakan watak Mawardah.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 30, berkata, karya adaptasi dua buah novel ini memerlukan dia membawa babak air mata hampir setiap hari.
“Ini juga watak paling susah nak buat kerana watak ini mempunyai karakter yang sangat baik dan setiap hari akan ada babak air mata. Sejujurnya ia satu cabaran yang agak memenatkan,” katanya.
Tambah Nad, dia seronok dapat be-kerjasama dengan semua yang terlibat dalam drama terbitan A Aida Production itu.
Katanya, biarpun sebuah naskhah yang agak berat namun kesemua pelakon dan kru produksi saling membantu dalam menghidupkan watak dan jalan cerita.
“Bekerja dengan barisan pelakon dan kru produksi untuk drama ini sangat menyeronokkan walaupun naskhahnya berat dan sedih tapi kami semua gembira seperti satu keluarga,” ujarnya.
Drama 30 episod itu dilakonkan oleh Shukri Yahya, Dayang Areeda dan Amar Asyraf ditayangkan sepanjang Ramadan pada pukul 5:30 petang di TV2.
Dalam perkembangan lain, Nad berkata, dia bakal memasuki set penggambaran bagi drama baharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan. – Agensi
