Berita palsu kisah rumah tangga pasangan pelakon Nad Zainal dan Ungku Ismail menjadi bahan terbaharu individu tidak bertanggungjawab mempromosikan produk jualan di medium media sosial.
Kesal dengan tindakan itu, Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin, 33, berkata dia bimbang jika berita tidak benar itu mengundang salah faham dalam kalangan peminat.
“Kalau iya pun nak jual barang, tak perlu tulis macam ini. Dah warganet percaya. Atau ada Nad Zainal lain?
“Nad yang ini (dirinya), yang tulen, jaranglah nak buka mulut canang kisah rumah tangga,” katanya.
Nad menulis perkara tersebut menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya hari ini yang turut dikongsi mStar.
Dalam tangkap layar yang dikongsi, pautan laman tersebut menulis luahan Nad yang mula tidak selesa dengan kehidupan rumah tangga bersama Ungku Ismail.
Bagaimanapun, perkongsian itu tidak menjelaskan secara terperinci masalah pasangan ini, namun dibimbangi boleh menimbulkan salah faham kononnya perkahwinan mereka sedang berdepan kemelut.
“Saya nak jaga mood di set. Jangan suka buat kelakar di sosial media. Nanti ramai yang percaya,” kata Nad lagi. – Agensi


