Pelakon Nad Zainal mengakui gementar untuk menimba ilmu pengarahan daripada suaminya yang juga aktor dan pengarah, Ungku Ismail Aziz kerana sifat tegas ketika berada di set penggambaran.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 35, berkata, dia juga risau tidak dapat memberikan lakonan terbaik sekiranya bekerja di bawah arahan suaminya itu kerana takut berlaku suasana tegang yang boleh menjejaskan hubungan mereka.
Disebabkan itu, Nad memilih untuk mengekalkan batas profesional dan tidak mencampuradukkan urusan kerja dengan kehidupan peribadi.
“Terus terang, saya agak takut nak menimba ilmu daripada suami sendiri. Dia garang, dan saya rasa saya tak boleh berlakon jika dia yang mengarah.
“Saya risau kalau urusan kerja terbawa-bawa ke rumah. Pernah juga saya beritahu dia kalau berlakon bersama tak apa, tapi kalau dia yang mengarah, mungkin tidak.
“Saya mahu terus menghormati dia sebagai suami dan elakkan daripada pergaduhan yang boleh menjejaskan hubungan kami, lagi-lagi waktu nak balik kerja bersama,” katanya kepada mStar.
Berkongsi lanjut, Nad pernah menyuarakan hasrat untuk belajar selok-belok pengarahan daripada Ungku Ismail, namun niat itu masih belum kesampaian.
Bagaimanapun, dia tidak mengambil hati sebaliknya Nad melihat masih banyak ruang untuk menimba ilmu dengan pengarah lain.
“Saya pernah minta suami ajar saya cara mengarah, tapi nampaknya dia belum bersedia untuk mengajar saya. Tak mengapalah, mungkin saya boleh berguru dengan pengarah lain atau mulakan langkah sebagai pembantu pengarah dahulu. Saya memang suka kerja di belakang tabir,” ujarnya. – Agensi


