BARCELONA, 24 SEPT – Sepanyol menamakan juara Grand Slam 22 kali, Rafael Nadal dan Carlos Alcaraz dalam skuad lima pemain Piala Davis semalam, manakala pemain nombor satu dunia dari Itali, Jannik Sinner turut akan bersaing pada pusingan akhir di Malaga.
Nadal, 38, menarik diri daripada Terbuka AS dan Piala Laver baru-baru ini dan hanya bertanding sekali dalam tujuh Grand Slam terakhir kerana kecederaan dan masalah kecergasan.
Juara Terbuka Perancis dan Wimbledon, Alcaraz akan menjadi tonggak Sepanyol ketika mereka memburu untuk menjuarai kejohanan itu yang dianggap sebagai Piala Dunia tenis buat kali pertama sejak tahun 2019, bermula dengan pertembungan menentang Belanda.
Alcaraz mengemudi kejayaan Pasukan Eropah dalam Piala Laver menundukkan Pasukan Dunia di Berlin minggu lalu.
Juara Terbuka AS dan Australia, Sinner turut berada dalam skuad Itali bagi pusingan akhir, yang bermula pada 19 November.
Pemain berusia 23 tahun itu bertindak cemerlang ketika membantu kejayaan Itali tahun lalu, mengalahkan bintang Serbia, Novak Djokovic dua kali sehari, pertama dalam perseorangan dan kemudian beregu pada separuh akhir. – AFP