Nadal beri ‘amaran’

MELBOURNE, 14 Jan – Rafael Nadal tidak menunjukkan belas kasihan pada pusingan pertama di Terbuka Australia tatkala bekas juara Angelique Kerber dan Maria Sharapova turut melangkah ke hadapan.

Juara Grand Slam 17 kali itu, yang memendekkan musimnya pada 2018 untuk menjalani pembedahan pada kakinya, mara ke pusingan kedua pertandingan terbuka tahun ini 6-4, 6-3, 7-5 menentang pemain tiket automatik dari Australia, James Duckworth.

“Bukan mudah untuk kembali selepas beberapa bulan, terutamanya menentang seorang pemain yang beraksi dengan agresif pada setiap masa,” kata juara Australia 2009 itu, yang tidak menunjukkan kebimbangannya terhadap kecederaan yang pernah dialaminya.

“Saya merasakan tenaga yang luar biasa di sini,” tambahnya.

Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu berusaha untuk menjadi lelaki pertama dalam era Terbuka dan ketiga dalam sejarah bersama Roy Emerson dan Rod Laver, untuk menjuarai setiap Grand Slam dalam dua atau lebih.

Pemain pilihan kelima, Kevin Anderson juga mara menentang Adrian Mannarino, dengan finalis Wimbledon tahun lepas menerusi kemenangan 6-3, 5-7, 6-2, 6-1. Manakala, juara NextGen Finals, Stefanos Tsitsipas turut mara dalam empat set.

Pemain pilihan kedua wanita, Angelique Kerber menewaskan Polona Hercog dari Slovenia 6-2, 6-2 dengan juara dari Wimbledon itu menghasilkan permainan klinikal untuk melancarkan kempen pada pertandingan yang dimenanginya pada 2016.

“Kami sekarang menguasai 2019 dan saya cuba untuk terus beraksi seperti tahun lalu,” kata juara Grand Slam tiga kali itu. Sharapova, juara di Melbourne Park pada 2008, memberi isyarat terhadap hasratnya dengan kemenangan 6-0, 6-0 ke atas Harriet Dart dari Britain, yang mengakhiri persaingan dengan perasaan sedih.

Beraksi dalam saingan Terbuka Australia kali ke-15, finalis tiga kali itu berkata dia gembira untuk mara dengan mudah tatkala bergelut untuk terus bangkit daripada kecederaan. – AFP

Nadal (kanan) berjabat tangan dengan Duckworth selepas pertemuan mereka pada pusingan pertama Terbuka Australia di Melbourne, kelmarin. – AP