PARIS, 28 MEI – Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Roger Federer, tiga pemain paling berjaya dalam sejarah Grand Slam, kesemuanya diundi dalam kelompok yang sama di Terbuka Perancis.
Setelah menjunam di tempat ketiga dalam ranking dunia, besar kemungkinan Nadal, juara 13 kali, akan bertemu ranking atasan, Djokovic sebelum aksi final.
Kedua-dua seteru hebat itu mungkin bertemu di saingan separuh akhir pada tahun ini. Pengarah kejohanan, Guy Forget mengakui bahawa idea untuk menemukan Nadal dengan pemain pilihan kedua, berbanding Daniil Medvedev, yang tidak pernah menjuarai perlawanan di Paris, terlintas di fikirannya.
Di Wimbledon, prestasi pemain di gelanggang rumput dan rekod akan diambil kira apabila pilihan pemain ditentukan.
“Gelanggang tanah liat adalah permukaan pakar sebenar tetapi kami memutuskan untuk mengikuti ranking ATP,” kata Forget.
“Medvedev tidak merampas kedudukan rankingnya, dia terpaksa berusaha mendapatkannya.
“Ia mungkin dilihat tidak seimbang di atas kertas, tetapi jika Nadal mahu menjuarai gelaran ke-14 di sini, dia terpaksa menewaskan Djokovic. Sama ada dia menewaskannya di final atau di peringkat separuh akhir.
“Selain itu, ia akan menjadi satu penghinaan buat Medvedev untuk memberitahu bahawa dia terkeluar dari menjadi pemain pilihan.”
Djokovic tewas dalam tiga final kepada Nadal di Terbuka Perancis pada 2012, 2014 dan tahun lalu, ketika pemain Sepanyol itu mencatatkan kemenangan 6-0, 6-2, 7-5.
Djokovic, juara pada 2016, merupakan pemain pilihan utama dan mungkin bertemu pemenang 2009, Federer di peringkat suku akhir. – AFP
