Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nadal, Djokovic menang selesa

    PARIS, 30 Mei – Rafael Nadal dari Sepanyol telah memulakan pemburuan gelaran ke-10 Terbuka Perancis dengan penuh bergaya, sementara juara bertahan Novak Djokovic meraih kemenangan sulung di bawah tunjuk ajar Andre Agassi.

    Turut mencatat kemenangan adalah juara bertahan wanita, Garbine Muguruza yang menumpaskan juara 2010, Francesca Schiavone.

    Nadal yang terpaksa menarik diri sebelum pusingan ketiga tahun lalu, menewaskan pemain ranking ke-45 dunia, Benoit Paire 6-1, 6-4, 6-1 dalam tempoh kurang daripada dua jam.

    “Saya amat gembira untuk kembali ke sini selepas apa yang berlaku pada tahun lalu. Ia satu perasaan yang hebat untuk merasai sokongan peminat,” kata juara utama 14 kali itu.

    Nadal mematahkan lapan servis Paire dan bangkit daripada aksi goyah di set kedua untuk menempah pertemuan pusingan kedua menentang pemain dari Belanda, Robin Haase.

    Jaguh tenis dari Sepanyol, Rafael Nadal membalas pukulan Benoit Paire dari Perancis dalam perlawanan pusingan pertama di Roland Garros. – AP
    Jaguh tenis dari Sepanyol, Rafael Nadal membalas pukulan Benoit Paire dari Perancis dalam perlawanan pusingan pertama di Roland Garros. – AP
    Ekspresi muka Novak Djokovic ketika menentang Marcel Granollers dari Sepanyol dalam pusingan pertama semalam. – AP
    Ekspresi muka Novak Djokovic ketika menentang Marcel Granollers dari Sepanyol dalam pusingan pertama semalam. – AP

    “Ia selalunya begitu di awal perlawanan, gembira dengan kemenangan ini. Jelasnya, Schiavone bukan lawan yang mudah dalam pusingan pertama. Dia pesaing sukar yang sudah memperoleh beberapa kemenangan tahun ini,” tambah Nadal.

    Manakala juara bertahan, Djokovic turut mara selepas menyingkirkan pemain dari Sepanyol, Marcel Granollers 6-3, 6-4, 6-2 dalam satu lagi aksi.

    Dengan juara Terbuka Perancis 1999, Agassi kali pertama berperanan sebagai jurulatihnya, Djokovic bagaimanapun menghadapi sedikit masalah ketika menentang pesaing di kedudukan ke-77 dunia itu.

    “Ia begitu hebat untuk mempunyai Andre Agassi sebagai jurulatih dan mentor. Saya akan cuba belajar sebanyak mungkin ilmu daripadanya,” katanya.

    Bintang Serbia itu yang memburu status sebagai pemain pertama di era terbuka meraih empat gelaran utama dalam semusim sebanyak dua kali, seterusnya akan menghadapi Joao Sousa dari Portugal.

    “Memasuki kejohanan ini buat pertama kali sebagai juara bertahan telah memberikan saya lebih daripada segala-galanya iaitu kelegaan, kerana penyertaan dan tekanan serta jangkaan terhadap saya, dan orang sekeliling saya sebelum trofi Roland Garros 2016 adalah sangat besar,” tambah Djokovic. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda