MIAMI, 30 Mac – Rafael Nadal melangkah lebih dekat dengan kemungkinan pertembungan final dengan musuh lama, Roger Federer dalam Kejohanan Terbuka Miami selepas kemenangan ‘straight set’ ke atas Jack Sock dari Amerika Syarikat di Key Biscayne.
Nadal menang 6-2, 6-3 ke atas pemain pilihan ke-13, Sock, bagi menempah pertembungan separuh akhir dengan pemain bukan pilihan dari Itali, Fabio Fognini yang telah mengecewakan Kei Nishikori 6-4, 6-2 dalam perlawanan lebih awal.
Pukulan ‘forehand’ jaguh Sepanyol itu sukar dikekang ketika dia menewaskan Sock dalam masa sejam dan 22 minit.
Nadal mampu menyelamatkan enam daripada tujuh ‘break point’ yang diperoleh Sock ketika dia terus menguasai perlawanan.
Dia memecahkan servis pertama Sock dan segera mengukuhkan kelebihan 3-0 dan ‘break’ kedua ketika 5-2 bagi set pembukaan.

Jaguh tenis dari Amerika itu cuba memberikan saingan di permulaan set kedua tetapi gagal mengambil peluang ‘double break’ yang mungkin menjadikan kedudukan 3-0.
Sebaliknya Nadal bangkit menjadikan 2-2 dan dengan Sock gagal memanfaatkan sebahagian besar peluang, ia mudah ditamatkan oleh Nadal.
Nadal yang berusia 30 tahun tidak pernah menang di Miami, meskipun menjadi finalis sebanyak empat kali dan dia dijangka bekerja keras untuk melepasi Fognini dan membuat penampilan kelimanya di final.
“Kami mengenali sesama sendiri. Dia telah menewaskan saya beberapa kali dan jadi ia akan menjadi satu persaingan yang bagus. Saya gembira untuk berada dalam separuh akhir tetapi ia akan menjadi satu perlawanan sukar dan saya perlu bermain di tahap terbaik,” kata Nadal. – AFP