BARCELONA, 30 April – Rafael Nadal menjulang gelaran juara Terbuka Barcelona ke-11 awal pagi tadi apabila berjaya menewaskan pemain remaja Greece, Stefanos Tsitsipas 6-2, 6-1 dalam perlawanan akhir.
Ia adalah gelaran ke-55 pemain nombor satu dunia itu di gelanggang tanah liat, selain melebarkan kemenangan di gelanggang itu kepada 46 set berturut-turut.
Pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu menjulang gelaran Masters Monte Carlo ke-11 hujung minggu lalu, tanpa tewas sebarang set.
Kemenangan itu meletakkan statusnya sebagai pemain pilihan untuk menjulang gelaran Terbuka Perancis buat kali ke-11.
Nadal kini menjulang 77 gelaran keseluruhan manakala rekodnya di gelanggang tanah liat terus gah dengan 401 kemenangan dan hanya 35 kekalahan.

“Sukar untuk membayangkan bagaimana untuk menang 11 gelaran dalam satu kejohanan. Menang 11 kali di Monte Carlo dan Barcelona, sesuatu yang saya tidak termimpi melakukannya.
“Saya hanya menikmati perjalanan setiap minggu dan bermain dalam kejohanan yang amat saya minati begitu bermakna bagi saya,” kata Nadal.
Kemenangannya awal pagi tadi diraikan dengan ‘ticker tape’ (cebisan kertas berwarna) dan ulasan video membabitkan semua gelaran di gelanggang utama Barcelona yang kini dinamakan sempena namanya.
“Sungguh emosional apabila melihat video seperti itu. Saya tidak pernah termimpi menjulang kerjaya seperti ini,” kata pemenang Grand Slam 16 kali itu.
“Tahun lalu mereka membuat video mengenai 10 kemenangan saya di sini, kini mereka membuat video yang lain untuk 11, ia membuatkan saya rasa bagaikan semakin berusia.”
Nadal kini berkongsi status dengan John McEnroe dengan 77 gelaran karier yang masih jauh berbanding Jimmy Connors (109), Roger Federer (97) and Ivan Lendl (94). – AFP