NEW YORK, 28 OGOS – Rafael Nadal melangkah ke pusingan kedua Terbuka AS keempatnya kelmarin dengan memberikan kekalahan besar kepada John Millman ketika beberapa pemain hebat yang lain terkandas pada pusingan pertama.
Empat dari 10 pemain teratas dunia, Dominic Thiem, Stefanos Tsitsipas, Karen Khachanov dan Roberto Bautista Agut gulung tikar pada Selasa sekali gus mengurangkan halangan buat Nadal untuk ke final.
Pilihan kedua Sepanyol, yang juga juara Terbuka AS 2010, 2013 dan 2017 itu memerlukan masa dua jam untuk menundukkan Millman 6-3, 6-2, 6-2 di Stadium Arthur Ashe dan pemain nombor 60 dunia dari Australia itu tidak dapat menghasilkan keajaiban seperti ketika dia menewaskan Roger Federer di sini setahun yang lalu.
“Perlawanan pertama seperti sedikit baharu walaupun saya selalu bermain di sini,” kata Nadal, yang bertemu Thanasi Kokkinakis dari Australia. “Saya fikir saya bermain dengan baik dan pada amnya saya sangat gembira dengan cara saya bermula.
“Tahun lepas dia (Millman) menunjukkan apa yang dapat dilakukan dan saya turun ke gelanggang dengan rasa hormat.”
Naib juara Terbuka Perancis dua kali, Thiem dikecewakan pembunuh gergasi dari Itali, Thomas Fabbiano 6-4, 3-6, 6-3, 6-2, pilihan keempat Austria karam pada satu lagi pusingan pertama selepas tewas pada fasa sama di Wimbledon.
“Saya sangat letih selepas dua set. Saya jauh dari 100 peratus,” kata Thiem yang sakit. “Bukan saya yang sebenar di gelanggang hari ini.”
Pilihan kelapan Greece, Tsitsipas bergelut dengan kekejangan dan menuduh pengadil ‘pilih kasih’ selepas ketinggalan 6-4, 6-7 (5/7), 7-6 (9/7), 7-5 kepada saingan muda Andrey Rublev dalam pertembungan empat jam yang melelahkan.
Tsitsipas, yang mengalami kekalahan kedua-dua berturut-turut pembukaan Grand Slam, telah dihukum penalti satu mata gara-gara melakukan pelanggaran pada set terakhir. – AFP
