NEW YORK, 25 Ogos – Rafael Nadal dari Sepanyol, yang mendapatkan kembali ranking nombor satu dunia pada Isnin lalu, dan pemain nombor satu dunia wanita sekarang, Karolina Pliskova, dijadikan pilihan utama bagi Terbuka AS semalam.
Nadal, yang memenangi gelaran Terbuka Perancis ke-10 pada Jun lalu, akan memburu gelaran Terbuka AS ketiga, yang akan menghimpunkannya dengan apa yang dimenanginya pada 2010 dan 2013 apabila Grand Slam terakhir musim ini bermula pada Isnin depan di Flushing Meadows.
Dia menjadi pemain pilihan di depan Andy Murray dari Britain, dengan juara Wimbledon, Roger Federer di kedudukan ketiga.
Federer dari Switzerland memburu gelaran Grand Slam ke-20 dan keenamnya di New York. Murray, yang memenangi Terbuka AS pada 2012, dan Federer bertarung dengan kecederaan menjelang pertemuan itu, dengan pemain dari Britain itu direhatkan sejak Wimbledon dengan kecederaan pinggul dan Federer tidak beraksi dalam Cincinnati Masters kerana masalah belakang.
Kecederaan itu membawa kepada ketidakhadiran beberapa orang pemain terkenal, termasuk juara Stan Wawrinka dan pemenang dua kali, Novak Djokovic. Alexander Zverev, 20, dari Jerman, berada di ranking keenam dunia, menjadi pilihan keempat. – AFP