Saturday, October 19, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nadal tersingkir di separuh akhir

    RIYADH, 18 OKT – Rafael Nadal mengakui tahap kecergasannya jauh ketinggalan berbanding pemain utama jelajah itu selepas tewas straight set kepada rakan senegaranya, Carlos Alcaraz, semalam, yang menyifatkan perlawanan pertunjukan itu sebagai ‘sedikit menyedihkan’.

    Pemain berusia 38 tahun itu, yang minggu lalu mengumumkan akan bersara daripada tenis selepas Piala Davis di Malaga bulan depan, tewas 6-3, 6-3 kepada Alcaraz, 21, dalam aksi separuh akhir acara Six Kings Slam di Arab Saudi.

    Selepas perlawanan, Nadal memuji Alcaraz, pemenang Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini, sebagai ‘luar biasa’ dan mengakui beliau sendiri tidak lagi berada di tahap tertinggi.

    “Saya tidak mempunyai banyak tekanan di sini. Saya hanya cuba berseronok,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

    “Saya tahu saya akan menentang pemain yang… berada dalam keadaan yang lebih baik daripada saya kerana mereka berada dalam jelajah profesional dan memenangi kejohanan,” tambahnya.

    Aksi Nadal semasa perlawanan separuh akhir kejohanan di Riyadh, baru-baru ini. – AFP

    Alcaraz berkata dia sedar sokongan penonton Arab Saudi lebih berpihak kepada Nadal, pemenang 22 gelaran Grand Slam termasuk 14 gelaran Terbuka Perancis dan mahu memberi ruang kepada Nadal untuk menikmati sorakan tersebut.

    “Sedikit menyedihkan… Ini bukan saat yang selesa bagi saya. Sudah tentu saya ingin menang. Namun, apabila awda berada di atas gelanggang, tiada kawan, tiada idola. Tetapi Saya rasa ini adalah detiknya sekarang,” kata Alcaraz.

    Sebelum perlawanan, Nadal telah membuat penampilan terakhir dalam acara perseorangan di Sukan Olimpik Paris, di mana beliau tewas kepada seteru lamanya, Novak Djokovic, di pusingan kedua. Nadal dan Alcaraz juga pernah berganding dalam acara beregu lelaki di Sukan Olimpik dan berkemungkinan bergandingan semula di Piala Davis.

    Nadal dijadualkan bertemu semula dengan Djokovic esok selepas bintang Serbia itu tewas dalam perlawanan sengit kepada juara Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat, Jannik Sinner, yang menang 6-2, 6-7 (0/7), 6-4. Sinner akan bertemu Alcaraz di final.

    “Berhadapan dengan Novak lagi, ia terasa seperti bernostalgia,” ujar Nadal menjelang pertembungan mereka untuk penentuan tempat ketiga dalam acara pertunjukan tersebut.

    “Kami telah bertemu banyak kali, jadi ini pasti akan menjadi satu perlawanan yang seronok,” tambahnya.

    Mengenai persiapannya untuk Piala Davis bulan depan, Nadal berkata beliau masih belum pasti tentang tahap prestasinya.

    “Dari segi emosi, saya pasti akan bersedia. Tetapi dari segi fizikal dan tahap permainan, masih ada sebulan lagi untuk membuat persiapan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda