Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Nadella pertahan pelaburan bilion dolar dalam OpenAI

    DAVOS, 17 JAN – Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella kelmarin mempertahankan pelaburan berbilion dolar syarikatnya dalam pembangun ChatGPT, OpenAI selepas Kesatuan Eropah (EU) dan Britain melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada ia menyerupai penggabungan.

    Nadella bercakap di luar acara yang dianjurkan oleh Bloomberg di Forum Ekonomi Dunia di resort Alpine Switzerland di Davos.

    “Jika kami mahukan persaingan dalam bidang AI dengan beberapa pemain yang sudah terintegrasi sepenuhnya, saya fikir perkongsian adalah salah satu jalan sebenarnya untuk mencapai persaingan,” kata Nadella.

    “Saya yakin pihak berkuasa akan menyelidikinya dan berkata, ‘adakah ini merupakan perkongsian yang mempromosikan persaingan atau tidak?’ Dan bagi saya, saya rasa ia adalah keputusan yang jelas.”

    Microsoft telah melabur berbilion dolar sejak 2019 ke dalam OpenAI, yang menarik perhatian ramai dengan chatbotnya, ChatGPT pada akhir 2022.

    Satya Nadella bercakap semasa sesi panel pada mesyuarat tahunan ke-54 Forum Ekonomi Dunia, WEF, di Davos, Switzerland pada 16 Januari. – AP

    ChatGPT menunjukkan kemajuan yang membingungkan dalam bidang AI kerana ia mampu menghasilkan puisi yang indah dan esei yang ringkas dalam beberapa saat serta lulus peperiksaan perubatan dan undang-undang.

    Tetapi dengan populariti itu datang pemerhatian yang lebih teliti dan kini pihak berkuasa persaingan di Kesatuan Eropah dan Britain sedang menyiasat perkongsian Microsoft-OpenAI.

    Nadella menegaskan bahawa perkembangan pesat terkini dalam bidang AI datang selepas pengambilan risiko oleh Microsoft.

    OpenAI mengalami krisis pada penghujung tahun lalu apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman disingkirkan dan kemudian kembali dengan kejutan, sementara dia tetap mengekalkan sokongan dari Nadella.

    Nadella berkata Microsoft kini hanya mahu “kestabilan dalam perkongsian”.

    Dia juga kelihatan yakin tentang mengehadkan risiko AI terhadap pilihan raya ketika berbilion orang bersedia untuk mengundi pada tahun ini, termasuk di Amerika Syarikat, di mana Microsoft berpusat. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...