Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nadhir, Ho Yeon pelanduk dua serupa

    Pelakon baharu, Nadhir Nasa, 25, hanya mampu tersenyum apabila wajahnya menjadi tular dan dikaitkan memiliki persamaan dengan bintang K-Drama wanita popular, Jung Ho Yeon yang kini sedang mencetuskan fenomena menerusi drama Squid Game di platform Netflix.

    Nama juara pertandingan program realiti, Hero Remaja 2020 mula menjadi bualan apabila raut wajah dan rambut dikatakan sama biarpun berlainan jantina.

    Bagi artis yang berjaya membolosi senarai Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 itu, dia tidak menyangka tular video menyamakan wajahnya dengan Ho Yeon.

    “Secara jujur, saya tidak menyangka perkara seumpama ini dicetuskan warganet dan peminat K-Drama. Saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu memberikan reaksi apabila diajukan persamaan kami.

    “Namun, saya bersyukur jika ada yang menganggap saya dan Ho Yeon banyak persamaan. Saya akui, secara kebetulan, persamaan kami bukan saja daripada wajah dan potongan rambut, malah peminat saya sendiri melihat kerjaya kami bermula sebagai model.

    Nama Nadhir menjadi perhatian apabila tular video menyamakan wajahnya dengan Ho Yeon. – Agensi

    “Saya sempat membuat carian di internet mengenai bintang K-Drama popular ini. Nyata, Ho Yeon bermula sebagai model sebelum menceburi dunia lakonan.

    “Saya sendiri sudah menceburi dunia peragaan sejak empat tahun lalu,” katanya yang bernaung di bawah pengurusan Laugh Out Loud Entertainment.

    Mengulas ABPBH 34, Nadhir atau nama sebenarnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, dia terkejut namanya membolosi pencalonan awal, seterusnya ke peringkat Top 5 biarpun baru setahun aktif berlakon.

    Pelakon drama i-Tanggang: Mother of All Lies menerusi karakter remaja bernama Syafiq itu juga percaya kepada rezeki.

    “Saya serahkan rezeki kepada pilihan peminat. Saya percaya jika ada rezeki tidak ke mana. Syukur jika memang rezeki untuk bawa pulang trofi ini, insya-Allah,” katanya.

    Dalam pada itu, pelakon kelahiran Michigan, Amerika Syarikat (AS) itu sempat mengulas mengenai penggunaan perkataan ‘lucky’ atau bertuah yang digunakannya. Ini termasuklah nama kelab peminatnya, Lucky Fighters.

    “Kawan baik di sekolah saya selalu memanggil saya dengan gelaran ‘Lucky’ kerana dua sebab. Pertamanya, saya selalu bernasib baik sekalipun berkelakuan nakal.

    “Malah, saya juga seperti ada imuniti hingga dijauhkan dengan pancaroba atau masalah. Keduanya, saya cukup meminati model, Lucky Blue Smith ketika berjinak-jinak dengan dunia peragaan,” katanya.

    Terdahulu, nama Nadhir menjadi perhatian apabila tular video menyamakan wajahnya dengan Ho Yeon.

    Ini disebabkan rambut dan wajah yang tidak tersenyum. Video berkenaan tular dalam aplikasi TikTok apabila Ho Yeon dikatakan ada kembar di Malaysia.

    Nadhir dilahirkan dan tinggal di Michigan, AS selama empat tahun. Kemudiannya, kembali ke Malaysia dan dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor.

    Dia merupakan graduan Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    Pernah membintangi drama Cerita Hantu Asrama, Tercipta Satu Ikatan, Projek: Anchor SPM dan terbaharu, i-Tanggang: Mother of All Lies. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda