Pelakon Nadhir Nasar, 25, bersikap selektif dalam memilih naskhah drama bukan disebabkan sudah ‘besar kepala’, sebaliknya, mahu nama kekal lama dalam industri lakonan.
Pelakon baharu yang menjadi sebutan selepas watak Syafiq Hambali dalam drama bersiri, i-Tanggang: Mother Of All Lies menjadi bualan itu berkata, dia tidak berniat ‘main-main’ apabila mengambil keputusan menceburi bidang lakonan sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Nadhir menafikan bersikap besar kepala apabila hanya memilih naskhah dimahukan sahaja sejak namanya menjadi perhatian ramai.
“Saya bukan mengejar karya yang bagus atau hanya ingin bekerja dengan produksi tertentu. Sebenarnya, saya tidak kisah menerima tawaran daripada mana-mana produksi, tetapi biarlah karya berkualiti dan kena dengan jiwa.
“Saya tidak mahu dilihat sekadar ‘main-main’ dalam industri, jadi apabila menerima tawaran, saya tidak mahu buat sekadar asal boleh. Sebaliknya, saya perlu ada ‘hati’ terhadap naskhah yang ingin dijayakan.
“Jika naskhah tidak kena dengan jiwa, saya akan menolaknya,” katanya.
Pernah membolosi pencalonan bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (BH) ABPBH 34, Nadhir berharap keputusannya menolak sesetengah naskhah tidak disalah erti.
Nadhir atau nama sebenarnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, ada masanya terpaksa menolak tawaran diberikan kerana tidak yakin mampu membawakan watak, selain merasakan ada pelakon lain yang lebih layak berbanding dirinya.
Selain itu, jejaka yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat ini berkata, dia juga bimbang mengecewakan syarikat produksi andai tidak berjaya membawa watak diberikan seperti dikehendaki pengarah.– Agensi
