Memilik raut wajah cantik seperti ‘barbie doll’, namun pelakon kelahiran kota Singapura, Nadiyah Shahab, 30, dilihat lebih serasi membawa watak antagonis.
Menerima impak luar biasa setiap kali membawa karakter jahat, jadi tidak hairanlah Nadiyah sentiasa menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk karakter yang sama.
Bakat Nadiyah atau nama sebenarnya, Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab mula diperhatikan menerusi drama Lafazkan Kalimah Cintamu, seterusnya drama Korban Kasih, tahun lalu.
Biarpun watak antagonis dilakonkan mengundang kebencian, namun popularitinya melonjak dengan watak sedemikian berbanding membawa watak protagonis.
Jadi, tidak hairan kekuatan karakter jahat yang dibawakan membuatkan nama Nadiyah membolosi pencalonan awal kategori Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
Namun, pemegang Ijazah Undang-Undang dengan kepujian kelas kedua dari University of London, Singapura ini gagal membolosi senarai Top 5 bagi kategori berkenaan.
“Sejujurnya, saya terbuka mencabar apa sahaja karakter termasuk antagonis. Saya sendiri tidak tahu kenapa sering dicabar watak antagonis yang membuatkan penonton meluat.
“Mungkin disebabkan wajah yang tidak berapa ‘innocent’. Malah, saya juga sering diberikan watak sama seperti anak Datuk, berdarah kacukan dan mengada-ngada.
“Boleh dikatakan, hampir setiap skrip diterima gambarannya lebih kurang sama, begitu juga dialog. Jadi, secara tidak langsung saya boleh berlatih hingga tampak selesa bermain dengan karakter,” katanya kepada media. Nadiyah berkata, dia pernah juga dicabar dengan watak protagonis.
“Kebiasaannya, saya terima watak utama untuk telefilem dan bukan drama episod. Saya terpaksa menolak jika dapat tawaran watak utama untuk drama kerana sebelum ini sibuk dengan pengajian dan mengukuhkan perniagaan, Absolut Chocolat.
“Jadi, saya tidak berani mengambil risiko melaburkan masa kerana watak utama menuntut komitmen tinggi. Jika watak pembantu boleh selit dan se-suaikan jadual penggambaran. – Agensi