Nafas baharu bangunkan persisiran Sarawak

TANJUNG MANIS, SARAWAK, 19 JUN – Projek perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) Semop berhampiran projek pembinaan jambatan-jambatan Batang Lassa dan Batang Paloh di sini bakal memberikan nafas baharu kepada Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) yang telah lama dirancang di kawasan persisiran Sarawak ini.

Terletak kira-kira 12 jam perjalanan dari bandar raya Kuching, projek kerjasama kerajaan negeri Sarawak dan Persekutuan di Semop, Pulau Bruit ini mempunyai keseluruhannya 307 unit rumah kediaman yang sudah siap dibina, selain sebuah masjid, 20 unit kedai dua tingkat, 12 unit kedai satu tingkat dan sebuah medan selera yang masih dalam pembinaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bruit Ismaily Johari berkata, pembangunan PSN Semop ini telah bermula sejak 2014 dan pihaknya diberi peranan membangunkan projek-projek ekonomi untuk meningkatkan lagi pendapatan khususnya dalam kalangan komuniti nelayan terlibat.

“Antara projek yang dicadangkan ialah mewujudkan pusat pemprosesan hasil perikanan, mendirikan kilang ais dalam kawasan pusat pendaratan ikan, sebuah stesen minyak dan memiliki bangunan kedai untuk aktiviti pusat jualan,” katanya semasa ditemui Bernama di sini.

Dalam konteks pemilihan untuk pemilikan kediaman di projek perumahan PSN ini pula, beliau berkata proses ini dilakukan secara adil dan telus mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Ismaily berkata syarat-syarat pemilihan adalah sangat ketat kerana objektif awal pelaksanaan projek ini juga adalah untuk membantu nelayan yang tidak mempunyai rumah atau memiliki rumah yang usang dan tidak selamat untuk didiami.

“Jika mengikut jadual, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, jawatankuasa teknikal sepatutnya sudah mengadakan proses temu duga bagi nelayan yang disenarai pendek, namun ianya tidak dapat dilakukan pada masa itu.

“Permohonan (mendapatkan kediaman ini) masih dibuka dan saya menggesa nelayan di bawah PNK Bruit untuk segera memohon rumah terbabit yang saya percaya akan memberikan banyak manfaat pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, pemilikan rumah berkenaan akan dilakukan secara sewa beli dan harga rumah itu adalah sekitar RM70,000, dan kerajaan negeri juga akan memberikan subsidi kepada setiap pembeli yang layak. – Bernama

Projek perumahan PSN Semop berhampiran projek pembinaan jambatan-jambatan Batang Lassa dan Batang Paloh di Tanjung Manis bakal memberikan nafas baharu kepada Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) yang telah lama dirancang di kawasan persisiran Sarawak berkenaan. – Bernama