ALOR SETAR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan memperkenalkan program pertanian pintar bagi membolehkan tanaman padi dapat diusahakan empat kali setahun di Kedah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran padi negara.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata untuk tujuan itu, pihaknya kini sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk mengusahakan tanaman padi secara estet bagi mengoptimumkan kos operasi.
“Kita akan laksanakan (program) tahun ini juga dan akan bekerjasama dengan agensi serta jabatan kerajaan dalam usaha mendapatkan persetujuan daripada pihak tuan tanah, ini sangat penting supaya projek yang dijalankan nanti berjaya meningkatkan hasil.
“Menerusi program ini, tempoh tanaman akan dapat disingkatkan kepada 60 hari dengan penggunaan varieti benih padi dan teknologi tertentu, berbanding 120 hingga 150 hari tempoh tanaman sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak Projek Sawah Padi Perintis MyGreen Team Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tajar.
Beliau berkata menerusi program pertanian pintar itu, pesawah akan didedahkan dengan teknologi terkini termasuklah penggunaan mikrob yang dapat membantu mereputkan jerami dengan cepat dan menjadi baja.
“NAFAS juga akan menggunakan jentera moden selaras dengan teknologi 5G untuk menabur (benih), membajak sehingga menuai, yang akan dikendalikan menerusi alat kawalan jauh dan tanpa perlu tenaga kerja yang banyak,” katanya.
Phahrolrazi berkata penggunaan dron setakat ini, membantu proses penyemburan racun dan baja di sawah. Sementara itu, katanya NAFAS akan terus memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah menengah terpilih sebanyak RM10,000 setiap sekolah, menerusi Program MyGreen Team bagi mendedahkan kepada pelajar tentang teknologi pertanian terkini.
“Buat permulaan, SMK Tajar menjadi sekolah rintis mengusahakan sawah menerusi program pertanian pintar itu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Pelajar diajar cara penggunaan dron serta kaedah tanaman berinovasi.
“Kita harap mereka akan menjadikan bidang pertanian sebagai pilihan kerjaya apabila tamat persekolahan nanti,” katanya. – Bernama