Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    NAFAS tingkat pengeluaran baja di Lahad Datu

    TAWAU, 15 DIS – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan meningkatkan pengeluaran baja di kilang bajanya di Lahad Datu, kata Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi hari ini.

    Katanya, kilang itu berpotensi untuk maju kerana harga baja yang dikilangkan mampu memberi saingan kepada produk baja dari luar Sabah dengan harga yang lebih murah.

    “Pada masa ini, baja daripada kilang itu hanya untuk kegunaan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

    “NAFAS juga akan menyasarkan ladang-ladang Felda di Lahad Datu dan Tawau (apabila pengeluaran baja ditingkatkan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kasih Peladang di sini.

    Mengenai program itu, Phahrolrazi berkata ia merupakan usaha NAFAS untuk membantu anggota peladang terpilih bagi menerima sumbangan zakat daripada hasil perniagaan pertubuhan itu, sekali gus menjalinkan permuafakatan dalam kalangan ahli peladang setempat.

    Katanya, seramai 125 asnaf daripada kalangan anggota peladang PPK Kelabakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kunak masing-masing menerima zakat sebanyak RM200.

    Program Kasih Peladang tahun ini melibatkan 10 lokasi di seluruh negara dengan sasaran 5,000 orang penerima. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda