Oleh Nour Maghfirah
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Asmawee bin Alamshah, 23, kelmarin menafikan pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 82 tahun dengan memandu secara berbahaya.
Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Mohammad mendakwa Asmawee memandu kenderaannya secara berbahaya pada 26 April 2021, jam 2 petang di depan sebuah rumah di Kampung Tanah Jambu.
Menurutnya, defendan masuk ke lorong atau laluan bertentangan, mengakibatkan perlanggaran sehingga menyebabkan kematian warga emas itu.
Asmawee, yang diwakili peguam Sheikh Noordin bin Sheikh Mohammad, berdepan denda $20,000 dan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika disabit bersalah di bawah Seksyen 27(1) Akta Lalu Lintas Jalan Raya, Bab 68, serta tidak layak memegang atau mendapatkan lesen memandu seumur hidup di bawah Seksyen 27(3), melainkan mahkamah memutuskan sebaliknya atas sebab-sebab tertentu.
Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni menangguhkan kes kepada 21 Ogos untuk menetapkan tarikh perbicaraan.


