Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Perbicaraan telah ditetapkan pada Mei tahun depan melibatkan seorang Penolong Penguasa Kastam atas pertuduhan pecah amanah.
Suyati binti Haji Ahmad Besar mengaku tidak bersalah pada 29 Mac terhadap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah oleh penjawat awam. Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni menetapkan perbicaraan bermula 6 hingga 29 Mei 2024 dan membebaskan defendan dengan jaminan $10,000, atau dengan dua orang penjamin tempatan.
Pertuduhan yang dihadapkan oleh Pendakwa Raya Shamshuddin Haji Kamaluddin yang berdasarkan siasatan Biro Mencegah Rasuah (BMR) telah mendakwa Suyati, bahawa semasa beliau bertugas di Unit Kewangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) sebagai Ketua Kewangan, telah menyalahgunakan wang tunai berjumlah $982,349.12, bayaran tuntutan lebih masa, perbatuan dan elaun syif yang dibuat oleh pegawai JKED.
Defendan diwakili peguam bela Sheikh Azry Sheikh Hassan dari Messrs Ridzlan and Co.