Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nafkah yang terabai

    Assalamualaikum, aku harap yang membaca ini sentiasa dalam keadaan sihat. Nama aku Zahid. Aku tahu, aku bukan suami yang sempurna, tapi aku sedar tanggungjawab aku sebagai ketua keluarga. Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, hidup terasa berat.

    Gaji yang aku terima setiap hujung bulan hanya cukup untuk menampung sewa rumah, bil dan keperluan anak-anak. Kadang-kadang, aku terpaksa menangguhkan bayaran tertentu semata-mata untuk memastikan ada makanan di atas meja.

    Isteriku, Aina, dia tidak pernah bersuara lantang. Dia sabar, tapi aku tahu di dalam hatinya ada kecewa yang dia sembunyikan tetapi suatu malam, ketika kami berbual tentang perbelanjaan rumah, dia menegur dengan nada lembut, “Abang, duit belanja rumah lain, nafkah untuk saya lain.”

    Kata-kata itu menikam jiwa aku. Bukan kerana dia menuntut, tetapi kerana dia betul. Nafkah itu bukan sekadar wang, ia lambang tanggungjawab dan penghargaan aku terhadapnya sebagai isteri.

    Aku rasa malu. Selama ini aku fikir cukup kalau semua bil dibayar dan dapur berasap. Aku lupa bahawa nafkah isteri adalah hak yang tidak boleh dicampur dengan keperluan rumah.

    Gambar ChatGPT

    Aina tidak minta banyak, hanya sedikit untuk kegunaannya sendiri sesuatu yang dia berhak miliki tanpa perlu memohon.

    Aku sedar, nafkah bukan soal jumlah, tapi soal tanggungjawab dan kasih sayang. Tapi aku sebagai suami tak dapat beri kepada isteri aku, aku rasa buntu. Tugas sebagai seorang suami ini amat berat bagi aku.

    Zahid

    NASIHAT DANG MP – 

    Waalaikumsalam, terima kasih Zahid kerana berkongsi kisah dengan pembaca Media Permata. Apa yang awda ceritakan adalah beban emosi yang mungkin turut dirasai oleh kebanyak suami iaitu keinginan untuk memenuhi tanggungjawab, tetapi terbatas oleh kemampuan.

    Apa yang Aina sampaikan sebenarnya bukan tuntutan material, tetapi luahan hati yang ingin dirasakan dihargai sebagai isteri.

    Nafkah, walaupun kecil jumlahnya, membawa makna kasih, perhatian dan rasa dihormati.

    Jangan memandang nafkah dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Ia juga boleh hadir dalam bentuk layanan baik, doa, masa dan usaha awda untuk memperbaiki keadaan.

    Teruskan berkomunikasi secara lembut dengannya untuk menjelaskan keadaan kamu dengan jujur dan rancang bersama cara mengurus kewangan keluarga.

    Sekiranya wujud perasaan saling memahami dan usaha dan doa yang berterusan, pasti tekanan ini akan menjadi ringan.

    Yang penting, jangan berhenti berusaha dan jangan rasa malu untuk meminta bantuan atau nasihat apabila perlu kerana kasih sayang yang ikhlas adalah asas sebenar rezeki dan ketenangan rumah tangga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda