KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Kejayaan sensasi beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul gelaran sulung Kejohanan Badminton Asia mereka bagi edisi 2025 di Ningbo, China, semalam membuktikan ‘sentuhan’ ketua jurulatih Herry Iman Pierngadi mula menampakkan impak positif.
Kehadiran Herry yang diberi julukan ‘Naga Api’ buat kali pertama di tepi gelanggang bersama pemainnya pada saingan di Ningbo dilihat sedikit sebanyak mencetuskan inspirasi khususnya Aaron-Wooi Yik yang cemerlang melenyapkan sorakan padu tuan rumah di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, menumpaskan Chen Bo Yang-Liu Yi, 21-19, 21-17 pada aksi final BAC 2025.
Lebih manis, pencapaian dilakar bekas juara dunia 2022 pada kejohanan itu juga menamatkan kemarau selama 18 tahun negara bagi mengungguli kategori tersebut selepas Choong Tan Fook-Lee Wan Wah kali terakhir memenanginya pada edisi 2007 di Johor Bahru.
Mengulas mengenai kejayaan Aaron-Wooi Yik, Herry berkata program latihan diaturnya sejak dua bulan lepas mula membuahkan hasil dan membantu mereka menampilkan prestasi cemerlang hingga menang straight set dalam semua perlawanan disertai di Ningbo.
“Saya senang dengan kejayaan Aaron-Wooi Yik, ini membuktikan program latihan saya berjalan dengan baik.
“Mereka sememangnya pasangan yang cukup baik, tidak terlalu banyak input yang perlu saya berikan namun terdapat beberapa aspek lagi yang akan mengambil masa buat mereka untuk mengadaptasinya,” katanya kepada Bernama.
Justeru, jurulatih berusia 62 tahun itu menaruh harapan agar pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik sebanyak dua kali itu mampu meneruskan konsistensi mereka sekali gus dapat meraih lebih banyak gelaran pada masa depan.
Antara pencapaian hebat Herry selama 31 tahun mengabadikan diri membimbing skuad badminton Indonesia adalah melahirkan juara Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008). – Bernama
