LISBON, 13 OGOS – Jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann berkata kelmarin bahawa dia percaya format baharu Liga Juara-Juara akan meningkatkan aksi permainan suku akhir mereka menentang pesaing berpengalaman, Atletico Madrid.
Leipzig, yang ditubuhkan pada tahun 2009, kini bersaing di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab dan berdepan Atletico hari ini.
Sebagai perbandingan, pasukan dari La Liga itu mara ke pusingan final pada tahun 2014 dan 2016 Liga Juara-Juara, namun tewas di kedua-dua perlawanan kepada Real Madrid, dan menjuarai Liga Europa pada 2012 dan 2018 di bawah pimpinan Diego Simeone.
Namun, dengan format Liga Juara-Juara yang baharu – satu perlawanan kalah mati berbanding dua perlawanan – menyaksikan kedua-dua pasukan melangkah ke peringkat baharu.
“Kami tahu bahawa mereka mempunyai banyak pengalaman menerusi dua pusingan, tetapi semua perkara boleh berlaku dalam hanya satu perlawanan,” kata Nagelsmann kelmarin.
“Kita akan berada dalam keadaan yang berbeza kerana situasi ini, jadi pengalaman bukan faktor yang besar.”
Nagelsmann yang bermain tanpa penyerang utamanya, Timo Werner, menjaringkan 34 gol pada musim lalu termasuk empat gol dalam Liga Juara-Juara sebelum menyertai Chelsea pada Jun lalu.
Tanpa kehadirannya, bahagian hadapan Leipzig besar kemungkinan akan diketuai oleh penyerang Denmark, Yussuf Poulsen dan penyerang Republik Czech, Patrik Schick, yang mengalami kecederaan akan tetapi Nagelsmann masih belum mendedahkan rancangannya. – AFP