Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nahas Air India 171: Mungkin tiada mangsa terselamat

    AHMEDABAD, 12 JUN – Sebuah pesawat penumpang menuju ke London telah terhempas hari ini di bandar Ahmedabad, barat India, bersama 242 penumpang di dalamnya, menurut pegawai penerbangan, dalam insiden yang digambarkan syarikat penerbangan sebagai ‘kemalangan tragis’.

    Penerbangan Air India 171, sebuah Boeing 787-8 Dreamliner yang menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, London, terhempas sejurus selepas berlepas, kata pegawai.

    Menteri penerbangan India berkata, beliau berasa “terkejut dan amat sedih” dengan nahas di Ahmedabad, di mana seorang wartawan AFP melihat kepulan asap hitam tebal naik ke udara dari kawasan lapangan terbang.

    Pihak berkuasa penerbangan awam India memaklumkan terdapat 242 orang dalam pesawat itu, termasuk dua juruterbang dan 10 anak kapal kabin.

    Air India menyatakan penumpang terdiri daripada 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada.

    Anggota bomba bertugas memadamkan api selepas sebuah pesawat terhempas di bandar Ahmedabad, India pada 12 Jun. – AFP

    Menurut Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA), pesawat tersebut telah mengeluarkan isyarat kecemasan lalu ‘terhempas sejurus selepas berlepas’.

    Pihak berkuasa turut menyatakan pesawat itu telah terhempas di luar perimeter lapangan terbang.

    Menteri penerbangan, Ram Mohan Naidu Kinjarapu telah mengarahkan ‘semua agensi penerbangan dan tindak balas kecemasan bertindak segera dan secara bersepadu’.

    “Pasukan penyelamat telah digerakkan dan segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan bantuan perubatan dan sokongan kecemasan sampai ke lokasi kejadian,” kata pengerusi Air India.

    Tambahnya, “Doa dan ingatan saya bersama semua yang berada dalam pesawat dan keluarga mereka. Ingatan dan ucapan takziah sedalam-dalamnya kami tujukan kepada keluarga dan orang tersayang semua mangsa yang terkesan dalam tragedi ini.”

    Sebuah pusat kecemasan telah diaktifkan dan pasukan sokongan telah ditubuhkan untuk membantu keluarga yang ingin mendapatkan maklumat, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda