Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nahas bas ragut 17 nyawa di selekoh maut Filipina

    MANILA, 6 DIS – Sebuah bas penumpang hilang kawalan dan terhumban ke gaung semasa melalui selekoh tajam di tengah Filipina, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh.

    Angka kematian adalah lebih rendah berbanding 28 orang yang dilaporkan pada awalnya oleh gabenor wilayah Antik, 450 kilometer ke selatan Manila, tempat kemalangan itu berlaku pada petang Selasa.

    Tujuh mangsa berada dalam keadaan kritikal, manakala empat lagi stabil, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Broderick Train, ketua agensi bencana wilayah.

    Pasukan kecemasan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk menyelamatkan mangsa yang cedera dalam gaung sedalam kira-kira 20 hingga 25 meter di lokasi kemalangan di bandar Hamtic, menurut Train.

    “Menurut saksi, bas yang dipandu laju itu hilang kawalan dan merempuh penghadang konkrit dan terjunam ke dalam gaung,” kata Rafael Magbanua, ketua agensi bencana pihak berkuasa tempatan.

    Gabenor Wilayah Rhodora Cadiao menggesa Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya supaya mencari penyelesaian tetap bagi kawasan yang mudah terdedah kepada kemalangan itu.
    Vallacar Transit Inc, pemilik bas berjanji untuk bekerjasama dalam siasatan, dan secara sukarela menggantung operasi 12 bas sedia ada.

    “Pihak pengurusan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua langkah yang sewajarnya telah diambil bagi memastikan bas kami diselenggara dengan baik dan layak beroperasi,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan. – Bernama

    Pasukan penyelamat Pejabat Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bandar Iloilo berada di lokasi kemalangan bas di pekan Hamtic, wilayah Antique, tengah Filipina pada 6 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda