SEGAMAT, 3 SEPT – Keadaan remaja lelaki 15 tahun yang terlibat dalam nahas lima kenderaan yang meragut enam nyawa di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lepas, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata mangsa, Abdullah Amir Ruddin yang masih mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat itu, kini menggunakan alat bantuan pernafasan.
Terdahulu, pihaknya telah terkesan berikutan satu laporan berita pada pukul 6:30 petang semalam yang mendakwa remaja berkenaan meninggal dunia.
“Polis mengesahkan berita berkenaan adalah tidak benar dan mangsa terbabit yang merupakan remaja lelaki berusia 15 tahun masih dirawat, di mana jumlah mangsa yang maut masih kekal enam orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam nahas Jumaat lepas itu, ibu dan bapa mangsa, Norahimah Noor Muhammad, 43 dan Amir Ruddin Ismail, 46 serta empat beradik mangsa, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5 meninggal dunia dan jenazah kesemua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa, Muar petang semalam. – Bernama
