Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nahas FRU: Bedah siasat ke atas sembilan mayat masih dijalankan

    TELUK INTAN, 13 MEI – Proses bedah siasat sembilan mayat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini pagi tadi dijangka selesai seawalnya 8 malam ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata jenazah tujuh anggota beragama Islam dan dua jasad anggota bukan Islam itu akan dibawa ke Markas Unit 5, FRU Sungai Senam, Ipoh untuk diberi penghormatan terakhir.

    Terdahulu, kesemua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

    Noor Hisam mengesahkan identiti anggota yang telah maut adalah Sjn Perumal a/l Sugunanathan, 44, dari Lahat, Ipoh; Sjn Mohd Roslan Abd Rahim, 46, dari Tanjung Rambutan, Ipoh; Kpl Mohd Pozli Jaudin, 41, dari Gunung Rapat, Ipoh; Kpl Nurit Ak Pandak, 34, (Kampar) dan Kpl Amiruddin Zabri, 38, (Gopeng).

    Empat lagi adalah Kpl Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, dari Taiping; Kpl Muhamad Akmal Muhamad, 35, dari Kuala Kurau; L/Kpl Damarrulan Abdul Latif, 33, dari Ipoh; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dari Lunas, Kedah.

    Kesemua jenazah akan disolatkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

    Jasad mendiang Perumal akan dibawa ke rumah keluarganya di Lahat, Ipoh manakala jasad mendiang Nurit, anggota Orang Asli akan dibawa ke rumah keluarganya di Mambang Di Awan, Kampar.

    Dalam kejadian pagi tadi sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan lori FRU dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam kira-kira 8.50 pagi tadi.

    Sementara itu, Noor Hisam berkata pemandu lori berusia 45 tahun yang ditahan didapati mempunyai enam rekod jenayah berkaitan narkotik. – Bernama

    Datuk Noor Hisam Nordin bercakap pada sidang media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, pada 13 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda