Wednesday, March 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nahas Germanwings 2015: Keluarga mangsa kenang detik hitam

    LE VERNET, 24 MAC – Ratusan orang berkumpul hari ini berdekatan lokasi di Pergunungan Alps, Perancis, di mana seorang pembantu juruterbang sengaja menjunamkan pesawat ke lereng gunung 10 tahun lalu, mengorbankan kesemua 150 penumpang dan kru.

    Pesawat Airbus A320 milik syarikat tambang murah Germanwings, anak syarikat Lufthansa, terhempas pada 24 Mac 2015 ketika dalam perjalanan dari Barcelona ke Duesseldorf.

    Tragedi itu meragut 144 penumpang dan enam anak kapal, dengan mangsa dari 20 negara – termasuk 72 warga Jerman dan 50 rakyat Sepanyol. Keluarga mangsa berkumpul di Le Vernet pada pagi tadi dan bertafakur selama satu minit pada jam 10:41 pagi, waktu nahas berlaku sedekad lalu.

    Beberapa pegawai dari Perancis, Jerman dan Sepanyol turut hadir untuk meletakkan kalungan bunga di tanah perkuburan Le Vernet, di mana mangsa yang tidak dapat dikenal pasti dikebumikan dalam satu liang lahad.

    Ketua Eksekutif Lufthansa, Carsten Spohr, berkata tragedi itu masih menghantui syarikat dan menjadi peringatan tentang tanggungjawab mereka terhadap keselamatan penerbangan. Bekas Datuk Bandar Le Vernet, Bertrand Bartolini, masih trauma mengenang insiden itu.

    “Tempat itu adalah lokasi penuh kengerian,” katanya kepada AFP. “Saya melihat perkara yang tidak akan dapat saya ceritakan sepanjang hidup saya.”

    Dia juga mengenang bagaimana keluarga dan media dari seluruh dunia membanjiri kampung terpencil itu dan dia sendiri terpaksa menandatangani 150 sijil kematian dalam salinan berganda. – AFP

    Gambar fail yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri Perancis menunjukkan kerja-kerja penyelamat kecemasan Perancis di antara serpihan jet penumpang Germanwings di lokasi nahas berhampiran Seyne-les-Alpes, Perancis pada 3 April 2015. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda