Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nahas helikopter Jepun, beberapa mayat ditemukan

    TOKYO, 14 APRIL – Beberapa mayat dipercayai anggota Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun (GSDF) yang dilaporkan hilang di Jepun minggu lepas telah ditemukan, lapor media tempatan hari ini.

    “Unit yang menjejaki pesawat GSDF telah menemukan apa yang dipercayai sebagai beberapa mayat,” lapor agensi Anadolu memetik Kyodo News yang berpangkalan di Tokyo.

    Helikopter itu membawa 10 anggota GSDF termasuk komander Divisyen ke-8 GSDF, Leftenan Jeneral Yuichi Sakamoto sebelum dilaporkan hilang daripada radar pada 6 April kira-kira 3:46 petang waktu tempatan, lebih kurang 10 minit selepas berlepas dari pangkalan tentera di Pulau Miyako di wilayah Okinawa.

    Menurut laporan, helikopter milik Divisyen Ke-8 GSDF berpangkalan di wilayah Kumamoto, barat daya Jepun itu telah menjalani pemeriksaan bulan lepas.

    Anak kapal dari SDF dan pengawal pantai Jepun, termasuk bot penyelamat, kapal selam, pesawat dan kapal peronda menjalankan operasi pencarian di kawasan itu sejak malam Khamis.

    Gambar yang diambil daripada Kyodo News menunjukkan anggota Pasukan Pertahanan Diri (SDF) mencari helikopter yang hilang di Pulau Miyako, Wilayah Okinawa, baru-baru ini. – ANN/The Japan Times

    “Kamera bawah air menunjukkan kerosakan teruk pada serpihan helikopter yang ditemukan di timur laut Pulau Irabu,” menurut laporan itu.

    Pasukan pencari juga telah menemui beberapa serpihan bangkai helikopter di pantai Pulau Irabu.

    “Punca nahas masih belum diketahui. Kedua-dua pusat kawalan trafik udara di kawasan itu tidak menerima isyarat kecemasan daripada pemancar kecemasan helikopter yang direka berfungsi secara automatik apabila terkena hentaman,” menurut pegawai Jepun.

    Krew helikopter yang hilang telah berkomunikasi dengan kawalan trafik udara selama kira-kira dua minit sebelum terputus dari radar, dan hilang di sekitar Pulau Miyako, manakala pihak berkuasa menyifatkan cuaca sebagai ‘cerah dengan jarak penglihatan yang baik melebihi 10 kilometer untuk penerbangan.’

    Pulau Miyako terletak kira-kira 400 kilometer timur Taiwan dan berhampiran dengan Kepulauan Senkaku. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda