HERAT, Afghanistan, 31 Okt – Helikopter tentera Afghanistan yang membawa 25 penumpang nahas di barat Afghanistan hari ini dan mengorbankan kesemua penumpang, menurut pihak berkuasa.
Pesawat itu nahas disebabkan ‘cuaca buruk’ di daerah Anar Dara, yang bersempadan dengan Iran, menurut jurucakap gabenor wilayah Farah, Nasir Mehri.
Taliban mengakui pejuang militan bertanggungjawab terhadap nahas itu.
Kedua-dua juruterbang dan 23 penumpang telah terkorban.
Antara yang maut adalah timbalan pemerintah tentera bagi barat Afghanistan dan ketua majlis wilayah Farah, menurut Mehri.
Ahli majlis wilayah, Dadullah Qaneh berkata helikopter itu merempuh puncak gunung dengan keadaan cuaca yang buruk apabila menuju ke wilayah Herat.
Pegawai tentera dan pegawai kanan kerajaan seringkali menggunakan helikopter apabila melalui wilayah yang mempunyai majoriti Taliban.
Nahas helikopter adalah perkara yang biasa berlaku di kawasan pergunungan Negara itu.
Pada September lalu, helikopter tentera Afghanistan yang membawa senjata dan peluru meletup semasa membuat pendaratan cemas di Farah dan mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang.
Awal bulan September lalu, sekurang-kurangnya 12 orang telah terkorban termasuk dua rakyat Ukraine apabila sebuah helikopter milik syarikat dari Moldova nahas di wilayah utara Balkh.
Pesawat tersebut juga membawa senjata dan meletup akibat impak nahas itu, menurut pihak berkuasa Afghanistan.
Anggota-anggota tentera barat telah menubuhkan semula tentera udara Afghanistan, yang telah musnah oleh perang saudara pada 1990-an dan semasa pemerintahan Taliban yang berakhir pada 2011.
Misi Bantuan Pengaman NATO di Afghanistan telah melatih juruterbang dan pengawal di darat seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha permodenan. – AFP