KAHERAH, 19 APRIL – Seramai 11 orang maut manakala 98 lagi cedera dalam nahas kereta api di utara bandar raya ini semalam, kata Kementerian Kesihatan Mesir.
Menurut kementerian itu, nahas itu berlaku di Toukh, sebuah bandar pertanian kecil di Delta Nil yang subur sekitar 40 kilometer (25 batu) di luar ibu kota.
Katanya, empat gerabak kereta api yang menuju dari Kaherah ke Mansoura, sebuah bandar Delta, dikatakan tergelincir dan keluar dari landasan.
“Puluhan ambulans bergegas ke lokasi dan pegawai penyiasat sudah dikerah untuk menyiasat punca kemalangan,” menurut kenyataan itu.
Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi semalam turut mengarahkan pihak berkuasa kejuruteraan tentera menyiasat insiden terbaharu, yang berlaku sebulan selepas nahas kereta api yang mengakibatkan 20 orang terbunuh.
Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa pemandu dan pegawai kereta api sudah ditahan untuk disoal siasat. – AFP
