PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB – Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata pegawai setempat hari ini.
Kapal tangki enjin berkembar yang dimiliki oleh Coulson Aviation berpangkalan di Kanada itu terhempas di Taman Negara Sungai Fitzgerald di selatan Western Australia semasa memadam kebakaran hutan semalam.
Walaupun pesawat itu terbakar dan mengeluarkan asap ketika ia terhempas, kedua-dua juruterbang hanya mengalami kecederaan ringan, kata Menteri Perkhidmatan Kecemasan, Stephen Dawson.
“Ia adalah sesuatu yang ajaib bahawa mereka selamat dari bencana itu,” kata Dawson kepada pemberita.
Lelaki itu, dipercayai warga Kanada, dibenarkan keluar dari hospital hari ini, lapor Australian Associated Press.

Tiga juruterbang Amerika maut apabila kapal tangki C-130 Hercules, pesawat yang dimiliki oleh Coulson Aviation itu, terhempas di pantai timur New South Wales ketika memadam kebakaran hutan pada Januari 2020.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, penyiasat nahas negara, berkata nahas yang berlaku semalam adalah kemalangan serius pertama yang melibatkan Boeing 737 di Australia.
Pesawat itu terhempas sejurus selepas membuang muatan airnya dengan bahan tambahan semasa keadaan cuaca tidak menentu. Kini, Coulson Aviation sedang menghantar eksekutifnya ke Sydney.
Penyiasat nahas, Angus Mitchell berkata masih terlalu awal untuk mencadangkan sebarang kaitan antara dua nahas penerbangan Coulson atau implikasi yang lebih luas untuk pesawat penumpang Boeing 737.
Pesawat itu telah berlepas dari lapangan terbang sejauh 500 kilometer. Ia adalah nahas kali kedua pesawat itu terlibat dalam kebakaran hutan di luar kawalan berhampiran bandar pantai Hopetoun. – AP