Naib juara Indonesian Idol musim ke-13 iaitu Fajar Noor mendapat sokongan luar biasa peminat walaupun gagal menjuarai program tersebut.
Memetik laporan mStar, ramai menyamakan bakat nyanyian Fajar atau Fajar Nurdiansyah, 21, setara dengan penyanyi terkenal Afgan selepas mereka berduet pada peringkat akhir program itu pada malam Isnin.
Tidak hanya itu, mereka juga percaya Fajar boleh menjadi pesaing Afgan selepas ini jika dia konsisten dalam kariernya.
Malah perkara itu dipersetujui salah seorang juri iaitu penyanyi Maia Estianty apatah lagi sudah lama tiada bakat sehebat Afgan sebelum ini.
Maia turut meminta Afgan berhati-hati dengan Fajar kerana karakter vokal mereka berdua dianggap memiliki persamaan.
““Afgan hati-hati, awak ada saingan baharu. Vokal awda berdua cukup mirip,” katanya.
Ketika episod Result And Reunion pada Isnin, Shabrina atau Shabrina Leonita, 25, diumumkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak 150 juta rupiah (RM39,200), sebuah kereta serta pakej percutian.
Shabrina menyampaikan dua buah lagu pada malam berkenaan iaitu Bawalah Cintaku berduet bersama Afgan dan Karena Kusanggup nyanyian asal Agnez Mo.
Manakala Fajar menyampaikan lagu Lenggang Puspita (duet bersama Afgan) dan Hampa (Ari Lasso).
Fajar membawa pulang wang tunai sebanyak 100 juta rupiah (RM26,000) dan sebuah kereta serta pakej percutian. – Agensi
